3/07/2012

Updates... updates... updates...

Sudah lama saya tak datang ke kelas ini untuk mengajar pelajar semua tentang apa yang kamu perlu tahu. Sebenarnya saya sibuk menjalani kehidupan sebenar untuk mencari sedikit rezeki bagi menyara keluarga saya. Kerjaya sebagai guru di alam siber ini tidak begitu memberangsangkan, hanya mampu meningkatkan bil penyelenggaraan rumah saya. Itulah pengorbanan guru kepada pelajar-pelajarnya, bagai membakar diri seperti mentol yang menelan belanja elektrik yang banyak.

Pembelajaran di Twitter semakin menarik dengan pertambahan "Followers" yang berkongsi lebih banyak idea dengan kita semua. Saya cuba sedaya upaya untuk #Followback supaya dapat berinteraksi dengan lebih banyak orang lagi. Jika anda ingin saya memantau prestasi bahasa anda dengan sambil lewa, hantarkanlah  @Mentions kepada saya!

English-Malay akan mempergiatkan penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan komuniti kita di TwitterJaya dan saya berharap English-Malay akan dapat menyumbang lebih banyak lagi kepada pelajar-pelajar sekalian.

Until next time - Sehingga berjumpa lagi!

Rajin-rajinlah datang ke kelas!!!

10/25/2011

Keperluan mengajar English dalam Malay

Pengajaran sesuatu bahasa baru yang tidak kita ketahui selalunya akan dilakukan dalam bahasa yang sudah kita mahir. Misalnya jika kita mahir bahasa Inggeris, maka pengajaran bahasa Jepun, atau Mandarin akan dilakukan dalam bahasa Inggeris kepada kita yang sudah mahir berbahasa Inggeris. Konsep pengajaran seperti Rosetta's Stone atau Michel Thomas Method menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar dan memperkukuh penguasaan bahasa asing lain.

Amatlah pelik kenapa kita tidak terbuka untuk menerima pengajaran bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu kepada masyarakat kita yang kebanyakannya bertutur dalam bahasa Melayu. Penguasaan bahasa Melayu tidak bermakna bahasa Inggeris itu diabaikan. Kita telah cuba mengajar bahasa Inggeris menggunakan Sains dan Matematik, mungkin bahasa Melayu pun boleh menjadi satu pilihan yang masuk akal.

Pembelajaran bahasa Inggeris telah menjadi sesuatu yang memalukan seolah-olah seseorang itu bodoh kerana tidak mampu menguasai bahasa tersebut. Maka, ramai yang memilih untuk mengelak dari menggunakannya atau pura-pura mahir dan marah jika dikatakan tidak tahu berbahasa Inggeris.

Semasa konsert Suara Kami yang lepas, penyanyi Amerika Nelly telah memuji masyarakat Malaysia dengan berkata, "Mereka tahu lirik lagu saya walaupun 50 peratus daripada mereka tidak tahu bercakap Inggeris". Kita melenting bila dikatakan sedemikian rupa kerana kita rasa penguasaan bahasa Inggeris itu melambangkan kecerdikan kita sedangkan sebagai orang asing, Nelly tidak merasakan yang tidak mengetahui bahasa Inggeris itu salah dan dipandang serong dalam masyarakat kita.

Sebetulnya, walaupun bahasa Inggeris diajar di sekolah-sekolah, ia masih merupakan bahasa asing yang sama tarafnya dengan bahasa Jepun, Korea, Mandarin. Maka tiada salahnya jika kita tidak tahu kerana kita bukan menggunakannya secara meluas dalam kehidupan seharian kita. Kita perlu mengambil sikap terbuka dan tidak prejudis terhadap mereka yang ingin belajar dan tidak takut atau malu untuk mepertingkatkan kemahiran kendiri kita juga.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa keperluan menguasai bahasa Inggeris itu penting dan kita tidak harus mengambil ringan tentang keinginan untuk menguasainya. Inisiatif yang diambil untuk memperbaiki diri kita tidak harus membuatkan kita rasa malu atau bodoh. Kerana secara dasarnya, orang Malaysia hanya perlu mengetahui bahasa Melayu dan kita tidak membesar dalam masyarakat yang bertutur bahasa Inggeris.

Maka, antara perkara yang boleh anda buat untuk mempertingkatkan kemahiran bahasa Inggeris ialah:
i. Belajar bahasa Inggeris menggunakan bahasa yang anda tahu agar maksud yang tepat dapat dihayati.
ii. Tidak malu untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa walaupun anda rasa anda sudah mahir.
iii. Bersikap terbuka terhadap mereka yang mahu belajar dan memperbaiki diri mereka.
iv. Mencari sebab peribadi yang menguntungkan anda (naik pangkat, pertingkat komunikasi, akses kepada bahan bacaan yang lebih baik, dll)
v. Jangan takut untuk membuat kesilapan kerana bahasa asing memang bukan bahasa anda. Biasalah kalau salah sikit-sikit.
vi. Dan jangan jadi bodoh sombong -- tak mahu belajar, dan menganggap diri anda lahir-lahir, semua dah tahu!
vii. Ambil serius tentang keperluan menguasai bahasa Inggeris dan berusaha bersungguh-sungguh seperti menyertai kelas bahasa.

Semoga maju jaya!

10/06/2011

Malay?

Ada juga yang bertanya tentang kesesuaian penggunaan kata Malay dalam EnglishMalay. Bukankah masyarakat kita berbilang bangsa? Adakah saya seorang pejuang bangsa yang fanatik dengan bangsa sendiri?

Untuk menjawab persoalan itu, Malay di sini sebenarnya mewakili bahasa Melayu. Penterjemahan yang akan saya buat di sini adalah berdasarkan bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Oleh sebab itulah, English-Malay.
English di sini bukan bangsa Inggeris, dan Malay di sini bukan bangsa Melayu. Saya yakin sebab muka saya tak macam kacukan Mat Salleh - Melayu. Hanya sekadar putih bedak sejuk.

Di Malaysia, perpaduan merupakan asas yang cuba dipupuk di kalangan kita dan saya percaya bahawa bahasa merupakan alat yang paling sesuai untuk menyatukan pemikiran kita. Di sini kita cuba menggalakkan penggunaan bahasa Melayu di samping meningkatkan kefahaman bahasa Inggeris. Dua bahasa yang kita perlu kuasai di Malaysia ini.

Harap jelas. Dah, jom tweet sambil buat-buat busy!

English to Malay - Spread the love?

Saya pasti ramai juga yang minat membaca penulisan bahasa Inggeris berbanding Melayu. Dan kalau kita telitikan di kedai-kedai buku di bandar-bandar besar, memang koleksi buku dalam bahasa Inggeris itu adalah jauh lebih luas dan pelbagai.

Pagi ini saya ingin menyarankan supaya pembacaan anda yang banyak anda dapat daripada pembacaan Inggeris dikongsi dan disebarkan dalam bahasa Melayu. Kadangkala pengisian daripada budaya yang berbeza ini dapat membantu kita mematangkan cara kita menghakimi sesuatu isu itu.

Dan melihat kepada kepelbagaian koleksi buku di kedai, tidak dapat dinafikan bahawa masih banyak konsep ilmu yang belum tersampai atau diterbitkan dalam bahasa Melayu dan tidak ramai sebenarnya yang benar-benar menguasai bahasa Inggeris. Penterjemahan sesebuah buku itu kadangkala tidak mengambil kira konteks perbezaan budaya yang biasanya amat ketara dalam penulisan bahasa yang berbeza-beza.

Oleh itu, apa yang boleh kita buat sebagai penggiat idea di Twitter, Facebook, atau Blog ialah meneruskan perkongsian idea yang kita peroleh daripada mana-mana sumber dan mengolahnya supaya bersesuaian dengan konteks bahasa Melayu. Saya jamin apabila sesuatu idea itu dikongsi dalam bahasa Melayu, dengan masyarakat Malaysia, penerimaan dan pemahaman terhadap idea itu adalah jauh lebih baik berbanding apabila kita membuat penulisan Inggeris (yang ramai akan faham, dan ramai juga yang buat-buat faham).

10/03/2011

Kenapa kita tweet?

Twitter telah menjadi satu media sosial bagi sesetengah orang (termasuk saya) untuk memenuhi masa lapang yang ada. Kemalasan atau motivasi yang memuncak membuatkan anda ingin berkongsi idea-idea bernas anda supaya orang lain boleh berusaha merealisasikannya di dunia nyata.

Kemudahan komunikasi membuatkan kita lebih efisyen sehingga mampu menyatakan hasrat yang terbuku di dada walau di dalam tandas sekali pun.

Wadah terdahulu seperti Facebook dan blog (sebegini) memakan masa dan tenaga yang banyak untuk membolehkan kita menyebarkan dakyah yang kita inginkan.

Maka kepada sesiapa yang berminat mengubah dunia, Twitter merupakan wadah baru yang dapat membantu anda mengumpul pengikut (followers) yang lebih mudah setia dengan kerenah anda yang mengada-ngada. Daftarlah dengan Twitter. Dan kalau senang, tegur-tegurlah @englishmalay.

3/20/2011

Sebut Betul-betul...

Okey, untuk minggu ini, mungkin kita teruskan pelajaran kita dengan mempelajari cara menyebut perkataan-perkataan berikut dengan betul. Kalau boleh Google cara sebutannya. Sebab kadang-kadang kita silap sebut dan rakan-rakan kita pastinya tidak akan membetulkan kita dan akan hanya mengutuk kita di belakang-belakang.

Banyak perkataan-perkataan berikut bukanlah asalnya daripada Bahasa Inggeris, sebab itu ejaannya pelik dan sebutannya susah.

Buffet - Boo Fey. Makan sampai berdosa.
Lingerie - Lon Zhe Rey. Pakaian dalam.
Peugeot - Pu Joe. Kereta Perancis.
Nike - Nai Ki. Kasut pada harga tak berpatutan.
Penis - Pi Nes. Untuk pelajar biologi.
Penelope - Pe Nel Le Pi. Untuk peminat wayang gambar.

Tambahlah lagi di ruang Comments! Kalau beritahu banyak-banyakkan ada yang marah pulak... :)