10/25/2011

Keperluan mengajar English dalam Malay

Pengajaran sesuatu bahasa baru yang tidak kita ketahui selalunya akan dilakukan dalam bahasa yang sudah kita mahir. Misalnya jika kita mahir bahasa Inggeris, maka pengajaran bahasa Jepun, atau Mandarin akan dilakukan dalam bahasa Inggeris kepada kita yang sudah mahir berbahasa Inggeris. Konsep pengajaran seperti Rosetta's Stone atau Michel Thomas Method menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar dan memperkukuh penguasaan bahasa asing lain.

Amatlah pelik kenapa kita tidak terbuka untuk menerima pengajaran bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu kepada masyarakat kita yang kebanyakannya bertutur dalam bahasa Melayu. Penguasaan bahasa Melayu tidak bermakna bahasa Inggeris itu diabaikan. Kita telah cuba mengajar bahasa Inggeris menggunakan Sains dan Matematik, mungkin bahasa Melayu pun boleh menjadi satu pilihan yang masuk akal.

Pembelajaran bahasa Inggeris telah menjadi sesuatu yang memalukan seolah-olah seseorang itu bodoh kerana tidak mampu menguasai bahasa tersebut. Maka, ramai yang memilih untuk mengelak dari menggunakannya atau pura-pura mahir dan marah jika dikatakan tidak tahu berbahasa Inggeris.

Semasa konsert Suara Kami yang lepas, penyanyi Amerika Nelly telah memuji masyarakat Malaysia dengan berkata, "Mereka tahu lirik lagu saya walaupun 50 peratus daripada mereka tidak tahu bercakap Inggeris". Kita melenting bila dikatakan sedemikian rupa kerana kita rasa penguasaan bahasa Inggeris itu melambangkan kecerdikan kita sedangkan sebagai orang asing, Nelly tidak merasakan yang tidak mengetahui bahasa Inggeris itu salah dan dipandang serong dalam masyarakat kita.

Sebetulnya, walaupun bahasa Inggeris diajar di sekolah-sekolah, ia masih merupakan bahasa asing yang sama tarafnya dengan bahasa Jepun, Korea, Mandarin. Maka tiada salahnya jika kita tidak tahu kerana kita bukan menggunakannya secara meluas dalam kehidupan seharian kita. Kita perlu mengambil sikap terbuka dan tidak prejudis terhadap mereka yang ingin belajar dan tidak takut atau malu untuk mepertingkatkan kemahiran kendiri kita juga.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa keperluan menguasai bahasa Inggeris itu penting dan kita tidak harus mengambil ringan tentang keinginan untuk menguasainya. Inisiatif yang diambil untuk memperbaiki diri kita tidak harus membuatkan kita rasa malu atau bodoh. Kerana secara dasarnya, orang Malaysia hanya perlu mengetahui bahasa Melayu dan kita tidak membesar dalam masyarakat yang bertutur bahasa Inggeris.

Maka, antara perkara yang boleh anda buat untuk mempertingkatkan kemahiran bahasa Inggeris ialah:
i. Belajar bahasa Inggeris menggunakan bahasa yang anda tahu agar maksud yang tepat dapat dihayati.
ii. Tidak malu untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa walaupun anda rasa anda sudah mahir.
iii. Bersikap terbuka terhadap mereka yang mahu belajar dan memperbaiki diri mereka.
iv. Mencari sebab peribadi yang menguntungkan anda (naik pangkat, pertingkat komunikasi, akses kepada bahan bacaan yang lebih baik, dll)
v. Jangan takut untuk membuat kesilapan kerana bahasa asing memang bukan bahasa anda. Biasalah kalau salah sikit-sikit.
vi. Dan jangan jadi bodoh sombong -- tak mahu belajar, dan menganggap diri anda lahir-lahir, semua dah tahu!
vii. Ambil serius tentang keperluan menguasai bahasa Inggeris dan berusaha bersungguh-sungguh seperti menyertai kelas bahasa.

Semoga maju jaya!

No comments: